Pada 22 Januari 2018 genaplah 50 tahun Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu yang dikenali seluruh antero dunia dengan panggilan (PULO), ia telah ditubuhkan di Padang Arafat, Makkah al-Mukarramah pada 22 Januri 1968, ia bergerak aktif di bumi Patani dan di luar Patani sebagai satu pertubuhan yang memperjuangkan nasib orang Melayu Patani dan menuntut pembebasan bumi Patani dari belenggu penjajah Siam; tuntutan kemerdekaan dan pembebasan dari belenggu penjajahan itu tidak pernah luntur dan tidak pernah terhakis dari dasar perjuangan PULO dari dulu hingga sekarang, tetapi pada tahap tahap tertentu atau kadang kadang kedengaran tuntutan tuntutan seperti itu diutarakan dengan nada yang agak menurun, ini bagi memberi laluan kepada penumpuan terhadap penyelesaian tertentu yang sedang berjalan.

Adalah menjadi satu lumrah kehidupan; jatuh bangun, maju mundur, pahit maung, tuduhan dan andaian, duri ranjau dan sebagainya selalu mengiringi perjalanan satu satu organisasi, begitu juga ia telah berlaku kepada PULO dalam menuju kearah kematangannya, ia telah dapat berjaya meredahinya  seterusnya dapat mengatasinya sebaik mungkin. Kematangan itu tidak akan muncul dengan tiba tiba begitu sahaja, ia mesti melalui segala permasalahan terlebih dahulu dan terus menghadapinya dengan sikap yang betul, perancangan yang kemas dan tindakan yang tepat.

Sudah menjadi asam garam perjuangan bagi mana mana gerakan mahupun orang perseorangan mesti menghadapi pelbagai tuduhan walaupun ia tidak berasas, ia bukan berlaku di kalangan orang orang Patani dan gerakan gerakan pembebasannya sahaja, ia menjadi lumrah di dunia ini pada masa kini dan telah berlaku di mana mana sahaja di seluruh dunia. Tuduhan tuduhan yang telah dan selalu dilemparkan di sana sini, baik dari sesama gerakan pembebasan sendiri, orang orang perseorangan  atau dari musuh gerakan pembebasan Patani, ia sebenarnya adalah satu mainan semata mata, maka ia tidak perlu dilayan dan tidak perlu diberi tumpuan sehingga menggangu kerja kerja yang telah dirancang, biar ia berlalu pergi, perjalanan ini perlu diteruskan mengikut perancangan yang telah diatur dan berdasarkan tujuan tujuan yang telah ditetapkan, jangan diberhentikan perjalanan yang sudah bermula disebabkan gangguan gangguan yang belum dikenal pasti sumbernya; kalau kereta api sudah bertolak maka ia sepatutnya berhenti di tempat dan pada masa yang telah ditetapkan sahaja.

Dengan kata lain perjuangan Patani selalu berdepan dengan 2 musuh utama; musuh sebenar (Siam)  dan musuh jadian (sesama orang Patani), semoga dengan suasana dan keadaan perjuangan masa kini yang mula kelihatan lebih jelas, lebih matang, lebih terpandu yang boleh menjuruskan kepada kesepakatan dan kesepaduan dalam bertindak dari kalangan majoriti gerakan pembebasan Patani, akan memungkinkan munculnya satu pakatan yang begitu kuat dengan hala tuju yang begitu jelas dalam masa yang terdekat ini.

Maka tema ulang tahun penubuhan PULO pada kali ke 50 ini ialah: Sepadu Tonggak Kekuatan. Tema Ini dipilih adalah berdasarkan pentingnya semua gerakan pembebasan Patani seia sekata dalam mencari penyelesaian isu Patani, usaha telah bermula dengan jayanya apabila Majlis Syura Patani dapat ditubuhkan pada 15/3/2015  oleh 6 kelompok gerakan pembebasan Patani, ia adalah payung kepada semua gerakan yang bergabung dibawahnya bagi mengendalikan usaha usaha penyelesaian isu Patani, di mana Malaysia dipersetujui kedua belah pihak (Patani-Thai) sebagai pemudahcara dan pihak ketiga dalam mencari penyelesaian ini.

Sepadu boleh membawa maksud bertindak secara bersama, selaras dengan, serentak dengan, saling bahu-membahu, senada, seia sekata,  sehala …. Kalau semua sudah bersetuju untuk berada di bawah satu payung dalam mencari penyelesaian yang menyeluruh, adil dan berkekekalan, maka banyak hal akan menjadi lebih mudah.

Sepadu dalam bertindak tidak memerlukan semua gerakan menjadi satu, walaupun ia sesuatu yang terbaik, sebab setiap gerakan mempunyai cara, pengalaman, kemahiran dan pengaruh yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Kalau kita bandingkan Majlis Syura Patani dengan sebatang pokok yang mempunyai kepelbagaian tunjang yang bergabung membentuk satu batang di mana akar akar dan tunjang tunjangnya berbeza, tetapi semuanya serentak menyokong batang dan daun yang sama dengan bertindak secara bersama bagi mendokong perkara yang sama, sudah barang pasti ia akan menjadi tonggak kekuatan, lebih lebih lagi kalau ia boleh diurus dengan baik dan dibajai selaras dengan selera semua tunjang yang bergabung.

Daun akan menjadi lebat seterusnya boleh menyerap tenaga dari cahaya matahari sebanyak mungkin untuk menyalurkannya kepada dahan, batang dan akar akarnya segali gus menjadi payung kepada semua, selagi mana akar akar dan tunjang tunjangnya sedia menyalurkan air dan bahan bahan galian yang boleh dikutip oleh akar akar dari pelbagai sumber.

Diharapkan tahun 2018 ini akan dapat diperlihatkan satu tindakan bersepadu dari kalangan gerakan pembebasan Patani dalam mencari penyelesaian dengan pihak Thai.

Ini adalah cita cita PULO yang dicetuskan oleh kepimpinan terbaru PULO setelah satu pemilihan umum kali ke2 berjaya dilaksanakan pada 18/8/2017, dan seterusnya pada 20/9/2017 satu barisan kepimpinan baru telah dibentuk yang diketuai oleh saudara Kasturi Mahkota sebagai Presiden.