Komitmen Malaysia di selatan Thai
PADA 28 Februari ini, genap setahun kerajaan Malaysia diberi amanah oleh kerajaan Thailand di bawah pemerintahan Perdana Menteri sementara, Yingluck Shinawatra sebagai pemudah cara bagi mendamaikan pihak kerajaannya dengan pejuang pembebasan di selatan negara berkenaan. Sebagai sebuah negara jiran paling hampir kedudukannya dengan selatan Thailand, Malaysia mengambil tanggungjawab tersebut dengan harapan konflik yang telah mengorbankan banyak nyawa termasuk mereka yang tidak berdosa melalui pelbagai bentuk serangan pengeboman dapat dihentikan segera. Walaupun di peringkat ini pertelagahan antara dua pihak masih belum reda sepenuhnya, namun pembabitan Malaysia hampir setahun lalu sebagai pemudah cara atau fasilitator dalam konflik tersebut sedikit-sebanyak telah berjaya membuahkan hasil. Sehingga hari ini, Fasilitator Kerajaan Malaysia Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai Selatan Thailand diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim telah mengadakan empat siri dialog melibatkan kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang pembebasan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO). Meskipun sekadar dialog antara wakil-wakil kerajaan Thailand dan wakil-wakil pejuang pembebasan, namun usaha keras Malaysia menemukan kumpulan yang bertelagah itu boleh disifatkan sebagai satu kemenangan moral memandangkan selama ini pihak terbabit langsung tidak mahu mengadakan sebarang perjumpaan. Bukan itu sahaja, hasil daripada empat dialog tersebut, pihak yang mewakili selatan Thailand tidak lagi dipanggil sebagai pengganas atau pemberontak tetapi sebagai pejuang pembebasan.Kejayaan mempertemukan dua pihak yang bertelagah itu juga boleh dianggap sebagai perintis kepada usaha yang lebih besar lagi pada masa akan datang...
Read More